“ Semua sudah bersedia?”
“ Sudah”
“ Kita hendak kalah atau menang?”
“ Menang”
“ Adakah kita hendak tunjukkan kita ini lemah?”
“ Tidak”
“ Adakah kita ini lemah?”
“ Tidak”
“ Siapakah yang terhebat?”
“ Kita”
“ Mesti main dengan baik?”
“ Mesti”
“ Permainan kita adalah ibadah?”
“ Ibadah”
“ Yang terbaik untuk ISLAM”
“ Untuk ISLAM”
“ Jadi kita mesti menang”
“ Menang,”
“ Menang,”
“ Menang,”
“ Menang”
“ Vanguard!!!”
“ Huh!!!”
Semua 12 pemain melangkah keluar dari bilik persalinan.
****
Seluruh dewan gamat. Tepukan gemuruh dan sorakan penonton membuatkan dewan menjadi bertambah hangat.
“ Aah… ramai penyokong” Iskandar mengangkat wajah sambil menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Wajahnya seakan tiada perasan.
Serentak dongakannya, sebilangan penonton melaung-laung namanya. Ada juga yang menjerit-jerit nombor jersinya, 10.
Bahunya tiba-tiba ditepuk. Iskandar menoleh ke sebelah. Umayr sedang tersenyum.
“ Mereka adalah penembak doa” Bisiknya sambil mengangkat tangan kepada penyokong. Penyokong menjerit-jerit nama Umayr sambil mengangkat kain rentang yang menunjukkan sokongan mereka. Ada juga kain rentang yang menunjukkan dua belas pemain Vanguard. Malah ada juga kain rentang yang terlukis di atasnya lambang kumpulan Vanguard.
“ Yosh, nampaknya hari ini kita perlu menunjukkan permainan yang memang terbaik” Asid, atau nama sebenarnya Rashid bercekak pinggang sambil tersengih melihat penonton.
Thoriq yang baru membetulkan kasut memandang tiga orang teman di sebelah kirinya itu. “ Kita tak boleh mengecewakan mereka” Dia mengukir senyuman manis. Rambut hadapannya yang jatuh menutup dahi ditarik ke belakang.
“ Erm… Pastinya kita juga tidak boleh mengecewakan ISLAM. Kita adalah syahsiah yang membawa risalah” Fatih, pemain berjersi nombor tiga bersuara. Cermin matanya di tolak sedikit ke atas. Kemudian dia menoleh ke sebelah kanannya.
Seorang pemain yang memakai jersi nombor Sembilan, hanya senyap tidak bersuara.
“ Kapten kumpulan” Kedengaran suara pengadil utama memanggil.
Pemuda berjersi nombor Sembilan bergerak kea rah pengadil.
Dewan bergegar dengan tepukan gamat daripada penonton. Nama pemain yang memakai jersi nombor Sembilan itu dilaung-laung.
Selepas berurusan dengan pengadil, dia menghulurkan tangan bersalaman dengan kapten kumpulan lawan.
“ Nampaknya kumpulan kamu mendapat sokongan hebat, boleh saya tahu apa rahsianya?”
Pemain bernombor Sembilan hanya tersenyum, tanpa sepatah kata, dia terus berlalu.
“ Pelik” Kapten lawan bersuara sendiri.
“ Baik, semua pemain sila masuk ke dalam gelanggang”
“ Melangkah dengan bismillah” Pemain nombor Sembilan itu bersuara mengingatkan teman-temannya.
24 orang pemain dari dua kumpulan melangkah masuk ke gelanggang. Kumpulan Vanguard melangkah sambil mendesis basmalah.
Selepas bersalaman dan keluar semula dari gelanggang, setiap kumpulan menghantar enam orang yang utama masuk kegelanggang untuk memulakan perlawanan.
Kumpulan Vanguard diwakili Iskandar, Umayr, Thoriq, Fatih, Asid dan pemain berjersi nombor Sembilan.
Sebaik sahaja semua sudah melangkah masuk, apabila semua pemain berada di posisi masing-masing, dewan yang gamat tiba-tiba menjadi senyap dan sepi. Sesepi dunia di subuh yang hening.
Semua mata tertumpu kepada pemain Vanguard bernombor Sembilan. Dia sedang menyatukan kedua telapak tangannya dan mendekatkan jarinya ke hidung dengan menundukkan kepala. Seakan-akan berdoa, sekaan-akan bertafakur. Semua penoyokong kumpulan Vanguard mengikuti tindakannya. Lima orang lagi pemain Vanguard yang berada di dalam gelanggang hanya tersengih.
“ Tarikan yang tak pernah pudar” Umayr bersuara sambil menolak bahu Iskandar. Dia berada di posisi setter yang terletak di bahagian hujung kanan hadapan sementara Zulkarnai berada di posisi perejam tengah, di antara pemain bernombor Sembilan dengan Umayr. Iskandar tersengih dengan wajah yang tidak berperasaan.
Tidak lama kemudian pemain nombor Sembilan mengangkat wajah. Seluruh dewan gamat semula. Nyata dia bukan pemain yang biasa. Dia adalah pemain yang luar biasa. Namanya dilaung-laung seluruh dewan.
Pemain nombor Sembilan berada di tempat perejam utama. Dia bergerak mendekati jaring. Dia memandang kepada kapten lawan yang berada di gelanggang sebelah.
“ Kamu bertanya apa rahsia kami mendapat sokongan hebat?”
Kapten lawan itu mengangguk.
“ Kerana kami adalah matahari mereka” Pemain berjersi nombor Sembilan mengoyak senyum. Kapten lawan hanya memandangnya dengan riak wajah terkejut.
Matahari?
“ Aha… Dia dah mula dah” Thoriq yang berada di posisi natural bersuara.
Rashid yang berada di posisi tengah belakang mengangguk. “ Cara dia”
“ Memang cool” Fatih mengangkat tanda bagus dengan tangan kanannya. Mereka bertiga di posisi belakang itu ketawa.
Pemain nombor Sembilan menepuk-nepuk dadanya. “ Kenalkan, nama saya Adil. Orang yang bakal membenamkan kumpulan anda” Perang saraf telah bermula sebelukm perang fizikal.
“ Cakap besar” Kapten lawan mendengus. Nampak emosinya terganggu dengan cara Adil. Adil masih terseyum.
“ Bukan cakap besar, tetapi cahaya dari langit yang memberikan keyakinan” Adil menjawab selamba. Senyumnya tetap tidak lekang. Dia berpaling ke belakang kembali ke posisinya.
“ Cis”
****
“ Main juga adalah ibadah” Faiz, senior Adil bersuara.
“ Jadi?” Adil mengangkat kening. Dia melihat sahaja seniornya itu dengan pandangan kosong.
Faiz melambung-lambung bola tampar di tangannya. “ Jadi kau kena jadikan orang lain pun rasa begitu”
Adil tersengih. “ Susahla”
“ Kalau senang, maka Rasulullah mesti tak lapar dalam hidup dia”
“ Itu Rasulullah” Adil menjawab acuh tak acuh.
“ Ya, itulah Rasulullah, matahari kita”
“ Matahari?”
“ Ya, Rasulullah adalah contoh dan sumber kita dalam meneruskan kehidupan kita” Faiz berhenti melambung bola. Bola tampar itu dipegang kuat. Tangannya diturunkan. Cengakaman tangannya yang kuat itu membuatkan bola itu tidak jatuh ke bumi walaupun tangannya sedang menghadap ke bawah.
“ Apa kaitan dengan matahari?” Adil bertanya.
“ Dengan matahari, kita tahu arah. Dan majority makhluk di dunia ini memerlukan matahari untuk hidup” Faiz memandang tepat kepada Adil.
“ Tapi konsep bermain adalah ibadah bukannya senang nak implimentasikan senior” Adil mencabut-cabut rumput panjang di atas tanah sambil wajahnya menunduk. Kata-kata seniornya itu agak sukar untuk dihadam.
“ Kau lihat Adil, apabila manusia bermain tanpa menghubungkan permainan itu dengan ALLAH, maka berlakulah macam hari ini yang kau lihat, rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya di dalam arena sukan”
Adil senyap. Seniornya Faiz ini, sememangnya seorang yang amat pelik. Dia mendapat jolokan ‘raksasa’ atas kehebatan dan ketangkasannya di dalam permainan bola tampar. Rejamannya yang amat pantas dan kuat, bersama dengan skilnya yang pelbagai serta tekniknya yang kemas, membuatkan dia amat digeruni dan disegani oleh kawan atau lawan. Tetapi dalam kerlipan kemegahan itu, dia adalah seorang yang cukup merendah diri, suka senyum, berdisiplin tinggi, kemas dan tenang. Dia juga adalah seorang yang berpegang kepada ajaran ISLAM dan meminati ulama’-ulama’. Selain serius bermain bola tampar dia juga merupakan ustaz sambilan yang berceramah di masjid. Dia juga selalu memikirkan hal orang lain, serta memikirkan masalah ummah dan cara memperbetulkannya. Faiz amat rapat dengan semua ahli pasukan Vanguard, tambahan dia membuat usrah dan halaqah untuk mereka agar kumpulan itu lebih memahami ISLAM dengan sebenar-benar pemahaman.
“ Saya masih orang biasa senior. Baru sahaja masuk ke dalam Vanguard ini, baru ikut usrah senior. Mana ana mungkin mampu buat apa yang senior harapkan”
Faiz tersenyum. Dia mengalihkan pandangannya kea rah net bola tampar di tengah gelanggang.
“ Aku juga dulu orang biasa seperti kamu…”
Dia melambung bola. Bola itu melambung tinggi ke udara. Tetapi bukan arah tegak, bola itu bergerak ke hadapan sedikit.
Adil mengangkat kedua-dua keningnya. Rejaman dari sini? Mustahil. Mereka kini berada di dalam dewan bola tampar milik Syarikat Teguh yang merupakan penaja kumpulan mereka, dan mereka sedang duduk di beberapa depa dari garisan melakukan servis. Justeru untuk merejam dari tempat itu ke gelanggang lawan adalah sesuatu yang amat mustahil.
Faiz hanya tersenyum. “ Kau lihat apa yang kau akan dapat dengan usaha”
Faiz mengorak langkah. Dia berlari. Bola mula jatuh. Faiz melompat. Lompatannya tinggi. Bola terus jatuh. Faiz sudah bersedia di udara dengan tubuhnya sudah dilentikkan bersama tangannya yang terangkat. Sebaik sahaja bola berada di posisi yang sesuai, Faiz terus melengkukkan tubuhnya dengan tangannya merejam bola sekuat hati. Bola tampar itu meluru laju ke arah gelanggang lawan dengan kelajuan yang amat dasyat, melepasi net dan jatuh sebelum garisan hadapan, yakni garisan penyerang. Bola melantun kuat ke udara semula. Mungkin sahaja itu akibat momentumnya yang masih berbaki, menandakan rejaman tadi adalah rejaman yang benar-benar dilakukan dengan sepenuh tenaga.
Adil hanya memandang dengan riak wajah tidak percaya.
“ Tiada apa yang mustahil jika berusaha Adil. Takdir itu juga di hujung usaha manusia”
Adil tidak tahu hendak cakap apa. Dia memandang mata seniornya. Mata itu seakan bersinar dengan harapan.
“ Kau usahalah melepasi tempat aku berdiri ini. Aku tidak lagi punya banyak masa. Kau perlu menjadi syakhsiah yang membawa risalah. Kau perlu bina peribadi atlet yang hebat dengan menjadikan sukan sebagai medan ibadah. Aku melihat kau mampu melakukan itu. Tunjukkan kepada dunia betapa hebatnya manusia yang mengambil ISLAM secara syumul walaupun di medan sukan”
“ Tak punya banyak masa?” Adil mengangkat kening pelik.
Ketika itu Adil Nampak ada cecair pekat merah mengalir keluar dari rambut Faiz. Cecair itu turun ke dahi. Ada bau pelik menerjah ke hidung Adil. Faiz tersenyum.
“ Darah?” Adil bangun, namun Faiz tumbang terlebih dahulu.
“ Senior!” Adil terus memangku Faiz.
“ Kau adalah harapan tahu” Faiz menepuk dada kiri, tempat hati, Adil.
Adil menitiskan air mata.
“ Tunjuk kepada dunia betapa bagusnya sukan apabila dilayan sebagai ibadah”
****
Peluh menitik. Tubuh habis dibasahi keringat. Baju sudah lencun basah. Pertarungan yang amat sukar. Pihak lawan telah jauh meninggalkan mereka.
Adil memandang senior-seniornya. Semua mereka kelihatan teramat penat. Matanya menjeling ke arah markah. 23 mata berbalas 10. Jika manusia biasa, itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterbalikkan.
“ Kita akan kalah” Ahmad, salah seorang senior bersuara. Dia menyeka keringat di dagunya.
“ Mereka terlalu hebat” Zayd, juga merupakan senior di dalam Vanguard menggeleng kepala.
Adil senyap sahaja. Dia juga gugup. Pihak lawan, Kumpulan Moon bersama enam pemain utamanya yang amat dasyat, benar-benar membelasah mereka.
Abu Ubaidah, pemain tertua, yang baru sahaj menjadi ketua kumpulan memandang kepada Adil.
“ Budak, apa pandangan kau?”
Adil terpana. Dia yang menggantikan pemain utama sebentar tadi, masih gugup mengenangkan apa yang berlaku di dalam gelanggang sebentar tadi.
Abu Ubaidah tersengih. Adil sebentar tadi pada mata ke-22, perejam utama lawan telah merejam bola sekuat hati sehingga mengenai wajahnya. Terduduk budak baru itu. Kasihan, baru sahaja menggantikan orang, diri pula menjadi mangsa. Abu Ubaidah akhirnya menggeleng.
“ Kalaulah Faiz masih ada” Saiful, pemain berjersi nombor 8 bersuara. “ Hei budak, kau kan Faiz wariskan baju nombor Sembilan? Takkan kau tiada apa-apa keistimewaan?” Suara Saiful kasar sambil menolak Adil. Adil tambah terkejut dengan tindakan seniornya itu.
“ Sudah, tak guna mengenang orang mati, tak guna juga mengenang orang yang tak berguna” Satu suara dingin mencelah. Ibrahim, pemain berjersi nombor sepuluh memandang Adil dengan pandangan yang membakar.
“ Kalau Faiz malam itu tidak keluar bersama budak ni, mesti dia masih ada dan bermain bersama kita sekarang” Ibrahim mendengus. Kata-katanya jelas menyalahkan Adil.
Adil tunduk. Walaupun dia tahu dia tidak bersalah, tetapi rasa bersalah tetap menghinggap di dalam hatinya. Malam itu, Faiz mengajaknya berlatih di dalam dewan. Faiz melatihnya dengan latihan yang berat. Malah Faiz juga turut sama berlatih. Faiz menunjukkan segala teknik yang Faiz mahiri dan kuasai. Faiz kelihatan sihat dan tiada menunjukkan tanda-tanda sakit. Namun selepas melakukan rejaman sepenuh tenaga dari jarak jauh, dia tumbang dan meninggal dunia. Selepas doctor melakukan pemeriksaan, barulah semua orang tahu bahawa Faiz mempunyai ketumbuhan otak.
“ Sudahla, dia masih baru. Dan Faiz mati disebabkan ketumbuhan” Satu suara lembut mencelah. Aiman, pemain yang digantikan dengan Adil segara memaut bahu Adil. Dia tadi dikeluarkan kerana cedera apabila cuba menahan rejaman lawan. Namun malangnya rejaman itu terkena jarinya menyebabkan jarinya bengkak teruk. Kini semua mata memandanng ke arahnya.
“ Tapi kalau dia tidak memberatkan dirinya kerana budak ini, pastinya dia masih hidup. Doktor juga kata begitu” Ibrahim meninggikan suara.
Aiman menghela nafas. Bila Faiz ada, mereka tidak pernah sesukar ini. Faiz adalah seorang yang bijaksana, tenang, hebat dan tangkas. Dia sentiasa ada jalan penyelesaian.
“ Ajal maut itu di tangan ALLAH. Doktor hanya boleh menjangka sebegitu. Tetapi di langit sudah tertulis begitu” Aiman masih cuba hendak menenangkan Ibrahim.
“ Tetapi bukankah Faiz kata Takdir itu di hujung usaha manusia?” Saiful pula mencelah.
“ Itu adalah untuk takdir yang belum termaktub. Ajal memang telah tertulis semenjak kita lahir. Kita kena redha. Kita tak boleh begini, menyalahkan orang lain atas kelemahan kita. Aku kira jika kita sehebat Faiz, ketiadaannya hari ini tidak akan kita salahkan kepada Adil”
Saiful dan Ibrahim mendengus. Mereka masih tidak boleh menerima.
“ Aku yakin Faiz memandang jauh ke hadapan. Mungkin sahaja kita tewas hari ini, dan mungkin ketewasan kita hari ini adalah pemangkin kepada sesuatu yang baik untuk dunia masa hadapan” Aiman bersuara yakin.
“ Kau gila” Ahmad yang senyap bersuara.
Aiman tersengih. “ Kau lihat nanti satu hari nanti. Ingat, Faiz pesan agar kita tunjukkan kepada dunia hebatnya manusia yang menjadikan seluruh hidupnya adalah ibadah walaupun di dalam gelanggang sukan. Adakah perangai kamu semua menunjukkan cita-citanya? Mana segala tazkirah dan ingatan dia kepada kita?”
Semua jadi senyap. Wisel berbunyi tanda waktu berhenti sebentar telah berakhir. Mereka perlu masuk ke gelanggang.
“ Pergi, aku yakin jika kita tewas pun hari ini, ada hikmah yang amat besar. Kamu perlu membesar” Aiman menepuk-nepuk belakang tubuh Adil sambil tersenyum manis. Adil menghela nafas. Gugupnya sedikit berkurangan melihat Aiman sebegitu rupa.
Dia melangkah masuk bersama-sama senior yang lain.
****
“ VANGUARD TEWAS, SELUAR PANJANG JADI HALANGAN”
“ IBADAH DI DALAM PERMAINAN, FAHAMAN YANG TAK SESUAI”
“ ISLAM DI DALAM GELANGGANG TIDAK RELEVAN”
Mata Umayr menjengah ke arah satu sudut dinding tempat tinggal Adil. Ada tiga keratan berita sepuluh tahun lepas. Dia dapat melihat tarikh yang ditulis dengan marker hitam di atas ketiga-tiga keratan itu. Di bawahnya adalah gambar seorang pemain berjersi Vanguard nombor Sembilan, dan di sebelah pemain itu adalah Adil yang memakai baju orang baru.
“ Itu gambar kau dengan lagenda?”
“ Huh?” Adil menoleh ke belakang. Konsentrasinya membuat kopi Radix sedikit terganggu. Dia menjengah Umayr yang sudah duduk selesa di atas sofa, kemudian dia menjeling ke tempat yang dilihat oleh Umayr. Dia menarik sengih.
“ Lagenda? Heh, ada-ada je kau ni” Adil meneruskan kerjanya. Dia mengacau air Radix di dalam kedua-dua cawan selepas serbuk kopi popular itu dicampurkan ke dalam air.
Umayr tersenyum sendiri. “ ya la, itu Faiz Abdul Aziz kan? Pemain terhebat dalam sejarah Vanguard… erm.. maksud aku dulu la” Jari telunjuk Umayr menarik bibirnya sambil matanya menjeling kepada Adil.
“Dulu? Sekarang?” Adil datang membawa dulang berisi dua buah cawan.
Umayr tersengih. “ Sekarang kau dah ada”
Adil duduk di sofa yang berhadapan dengan Umayr. Adil pula menarik sengih.
“ Dia adalah matahari aku” Adil bersuara. Suaranya sedikit rendah. Umayr mengambil cawan yang berisi kopi Radix itu.
Nama Faiz harum ibarat bunga. Kematiannya benar-benar diratapi. Sebagai seorang pemain yang amat digeruni dan disegani kawan atau lawan, kehilangannya amat dirasai. Dan kematiannya juga adalah antara faktor kumpulan Vanguard tidak dapat menjadi johan pada tahun itu, yakni sepuluh tahun lepas. Sedangkan tahun itu adalah tahun yang amat cerah dan mereka telah menjejakkan kaki ke final, tetapi ALLAH telah menarik Faiz terlebih dahulu sebelum final itu berlangsung. Tahun itu juga hakikatnya adalah tahun terakhir para senior kerana kontrak mereka dengan syarikat Teguh akan berakhir tahun itu. Harapan mereka untuk menjulang johan pada tahun itu tidak kesampaian sekaligus menamatkan karier mereka dengan satu titik hitam.
Malah lebih menyayat hati, penampilan Vanguard sebagai satu-satunya kumpulan yang pemainya berseluar panjang dipersalahkan atas kekalah mereka. Beberapa individu tertentu telah mempermainkan isu ini dengan memperlekehkan visi mereka yang ingin menunjukkan kesyumulan ISLAM di merata tempat hatta di gelanggang permainan. Kekalahan mereka menjadi isu besar dan terpampang di dalam akhbar. Ramai pengulas sukan menyatakan bahawa mereka boleh berjaya jika mereka memakai seluar pendek. Alasan mereka adalah kerana bermain dengan seluar panjang hanya mengurangkan ketangkasan. Sedangkan umum mengetahui bahawa Faiz, pemain terhebat ketika itu adalah pemain yang berseluar panjang.
Memang Adil tahu bahawa ramai yang tidak menyenangi gagasan yang Faiz cuba bawa, mewarnai gelanggang sukan dengan ibadah, taqarrub kepada ALLAH. Jika semua faham konsep ibadah itu adalah pada setiap saat kehidupan kita, pasti ada pihak-pihak tertentu yang tidak dapat emngaut untung dan laba secara cepat. Maka apabila Faiz tiada, kumpulan Vanguard mengalami kekalahan, maka mereka menyalahkan gagasan Faiz itu dengan seburuk-buruknya.
Kekalahan hari itu benar-benar berbekas di dalam hati Adil.
“ Rugi kami masuk lewat empat tahun dari kau, kalau tak mesti sempat belajar dengan lagenda”
Adil tersengih. ‘Kami’ yang dimaksudkan Umayr adalah lima lagi pemain utama Vanguard sekarang.
“ Semuanya adalah susunan ALLAH” Adil bersuara.
“ Kekalahan pada hari itu juga adalah takdir ALLAH. Mungkin jika tidak kalah pada hari itu, dan gagasan ibadah itu pada setiap tempat dan masa dihina dan dicaci, diperlekeh dan ditolak, maka aku juga rasa aku tidak akan jadi seperti hari ini”
Umayr mengangguk. Kopi Radix dihirup. Hangat. Hangat yang menyenangkan.
“ Adil, pemain Vanguard berjersi nombor sembilan, matahari kepada penyokong, matahari kepada semua atlet sukan, menguasai segala teknik di dalam sukan bola tampar, dari teknik-teknik asas hinggalah rejaman, berstamina tinggi, bersemangat waja, tenang dan bijaksana, pemain yang dikatakan benar-benar menyamai Faiz Abdul Aziz, pemain lagenda dalam arena bola tampar” Umayr menyebut biodata pujian Adil.
“ heh” Adil menggeleng kepala.
Apabila berita-berita itu terpampang di dalam akhbar, dia seakan dibakar semangat yang pelik. Tambahan selepas itu dia teruk disisihkan oleh senior-senior, semangatnya menjadi semakin membara. Aiman yang lembut hati itu banyak memberikan galakan. Dia terus berlatih dan berlatih. Dari seseorang yang servisnya selalu sahaja terkeluar gelanggang, atau tidak lepas, dia menjadi seorang yang mampu memilih tempat mana bolanya hendak jatuh apabila melancarkan servis. Servis berbisanya terkenal dengan nama ‘yoga’ kerana dia akan mengambil sedikit masa sebelum melancarkan servis.
Dia terus berlatih dan berlatih. Dengan bimbingan Aiman yang setia bersamanya walaupun telah tamat kontrak, dia berusaha mempertingkatkan diri. Di samping itu, Aiman banyak membantunya dalam memahami ISLAM sebagaimana Faiz dahulu melaksanakan usrah. Cuma bezanya, pemain-pemain yang ada ketika itu seakan tidak berminat dengan hal-hal sebegitu. Mereka menyatakan bahawa hal sebegitulah yang melemahkan Vanguard. Namun Adil tak kisah, dia meneruskan lagi usahanya. Aiman seakan-akan menjadi tok gurunya, baik di dalam bola tampar mahupun di dalam agama.
Segala teknik yang Faiz persembahkan pada malam kematiannya cuba dipraktikkan sebaik mungkin. Dua tahun Adil menghabiskan waktunya mengasahkan kebolehannya di dalam sukan itu. Dua tahun yang padat, dua tahun yang penuh dengan kesungguhan. Matlamatnya satu, dia ingin menunjukkan kepada dunia bahawa gagasan yang dibawa oleh Faiz, ajaran Rasulullah S.A.W. bukanlah sesuatu yang tidak relevan. Faiz adalah benar, kerana dia membawa gagasan Rasulullah S.A.W. dan ajaran ALLAH S.W.T.
“ dan tidaklah KAMI menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada KAMI”’
Malah ulama’ muktabar bernama Sheikh Yusouf Al-Qaradhawi juga menyatakan bahawa mereka yang memagarkan ibadah itu di pagar-pagar masjid, maka sesungguhnya dia telah menyempitkan ISLAM yang luas.
Adil berusaha. Dari lompatannya yang hanya sejengkal dari bumi, kini dia boleh melompat melepasi jaring bola tampar. Dia menambah kehabetannya sehingga sebegitu dengan menjalani lataihan silat. Aiman turut menemaninya. Dari silat, dia mendapat ketangkasan dan ketajaman mata. Dari silat juga tubuhnya mennjadi lembut dan ringan. Senaman-senaman silat membina tubuhnya dengan baik. Rejamannya yang dahulu sering tersangkut pada jaring atau terkeluar dari gelanggang atau melambung jauh ke udara kini menjadi jitu, padu, kuat, dan laju. Malah dia menjadi mahir dengan segala jenis rejaman, baik rejaman jenis open, fast fast shoot, fancee spiking,sub,3 meter, dan pelbagai lagi teknik rejaman dikuasai sebaiknya. Adil juga sering sahaja memerhatikan perlawan bola tampar antarabangsa, mengadaptasi teknik dan cuba memerhatikan skil serta cara bermain pemain-pemain utama dunia.
Selepas dua tahun, dia akhirnya menjadi seorang yang amat hebat walaupun Vanguard pada ketika itu masih belum mampu untuk bersinar semula seperti dahulu memandangkan tiada pemain sehebat barisan senior yang baru sahaja keluar. Adil sentiasa berdoa agar ALLAH membantunya dalam urusan ini. Dan dia juga tidak berserah sahaja pada doanya, dia juga berusaha mencari pemain-pemain yang dirasakan berbakat di seluruh tempat yang mampu dia pergi.
“ Takdir itu di hujung usaha manusia” Kata-kata seniornya, Faiz Abdul Aziz sering sahaja mengiringinya. Justeru dia langsung tidak putus harap. Harapannya untuk meneruskan gagasan Faiz membuatkan dia menjadi pantang mengalah.
Akhirnya selepas dua tahun, dia berjaya menjumpai Umayr, yang amat berbakat menjadi setter, Iskandar, seorang yang tingginya menghampiri dua meter, Fatih, yang amat hebat dalam melakukan fast spiking, Rashid, yang amat pantas dan tangkas lebih-lebih lagi dalam melakukan digging, dan akhir sekali Thoriq, yang sentiasa mempunyai strategi aneh tetapi menjadi, juga cekap dalam melakukan sub spiking.
Bersama mereka berlima dan Aiman, Adil bergerak menggilap nama Vanguard semula. Dia bersungguh-sungguh, membina Vanguard luar dan dalam. Syarikat Teguh yang hampir sahaja ingin menghentikan tajaan terhadap Vanguard diyakinkan semula dengan prestasi yang meningkat mendadak. Vanguard menjuarai segala pertandingan terbuka dan berjaya menjadi antara pasukan yang memberikan cabaran hebat di peringkat negeri. Nama Vanguard semakin kembali bersinar. Untuk dalaman pula, Aiman telah menjadi ketua untuk menjalankan usrah, menyampaikan tazkirah dan memberikan peringatan kepada mereka berenam. Malah latihan mereka juga dijadikan sebagai sebahagian program usrah, diiringi suasana tarbawi yang membina hati.
“ Hakikatnya setiap saat di dalam kehidupan kita adalah ibadah. ALLAH menghitung kita setiap masa. Mari kita muhasabah sebentar surah Al-Zalzalah,ALLAh menyatakan bahawa setiap amalan kejahatan walau sebesar zarah akan dihitung, dan begitu juga dengan amalan kebaikan kita. Tetap akan dihitung. Maka seluruh kehidupan kita akan dihitung, di gelanggang juga akan dihitung. Justeru bagaimana kita tak menjadikan kehidupan kita di dalam gelanggang sebagai ibadah? Adakah ALLAH tidak wujud bersama kita ketika itu?” Itulah antara tazkirah yang Aiman berikan selepas habis sahaja latihan. Selepas habis kontraknya sebagai pemain, dia menyambung kontrak dengan menjadi jurulatih.
Mereka menjadi satu kumpulan yang kuat. Kuat yang luar biasa. Dalam masa enam tahun selepas itu mereka terus mendaki dan mendaki. Kini....
“ Akhirnya tahun ni kita sudah berdiri sama tinggi dengan Vanguard yang lama” Adil melepaskan bicaranya. Umayr terangguk-angguk. Kopi Radix pada cawannya sudah habis. Kopi Radix pada cawan Adil juga sudah habis, tetapi Umayr yang menghabiskannya. Adil tidak mahu minum kerana mengenang kisah silam.
Kini Vanguard sudah memasuki final, dan akan bertembung dengan johan dunia sembilan tahun berturut-turut, Kumpulan Moon. Putaran waktu yang terhenti dahulu akan berputar semula pada minggu hadapan.
“ Tidak, aku tak rasa begitu” Umayr mencelah. Adil mengangkat wajah. Sebelah keningnya terangkat. Isyarat senyap yang membawa maksud ‘apa dia?’
“ Maksud aku, kau sudah melangkaui lagenda kan?” Giliran Umayr pula mengangkat kening.
Adil senyap. Melebihi matahari?
Suasana tiba-tiba menjadi sunyi.
****
“ Penat” Thoriq menghela nafas. “ Aku nak air fresh oren”
Satu kumpulan ketawa. Aiman menggeleng kepala. “ Nah fresh oren kau” Aiman melambung bola dan melakukan rejaman pantas ketika itu juga. Thoriq pantas mengelak. Bola melantun jauh.
“ Gila ke coach” Thoriq membeliakkan mata. Suasana gamat lagi dengan tawa ahli kumpulan yang lain. Thoriq sememangnya seorang yang berperawakan lucu. Aiman turut ketawa.
“ Bagaimana prestasi kita sekarang coach?” Umayr bertanya. Biasanya Aiman akan memberikan tazkirah ringkas sambil membuat bedah siasat terhadap latihan mereka setiap kali masa latihan tamat.
Aiman senyap sebentar. Dia membuka dokumen di tangannya dan menyelak beberapa kertas.
“ Erm, saya rasa tiada apa-apa. Cuma saya harap kamu semua meletakkan nyawa kamu atas perlawanan ini. Hanya tinggal dua hari sahaja. Hakikatnya perang sudah bermula semenjak kita melepasi separuh akhir lagi. Peperangan dengan rasa riak, peperangan dengan rasa gugup, dan peperangan dengan...” Aiman menoleh ke belakang. Semua pemain memandang ke arah yang sama.
Kelihatan Adil sedang melakukan rejaman tubi. Terdapat seorang pemain baru menjadi temannya melakukan set. Di sebelah pemain baru itu terdapat satu bakul yang besar berisi bola. Bakul itu boleh memuatkan seratus biji bola tampar. Di gelanggang lawan terdapat lima biji kon yang terletak di hadapan garisan penyerang. Adil melakukan rejaman dengan merejam bola ke arah kon itu. Sedari tadi dia tekun melakukan latihan itu. Lebih menakjubkan, sehingga kini, yang mungkin telah memasuki rejaman kali ke lapan puluh, tiada satu rejaman pun yang tidak mengenai kon itu. Adil telah melakukan pelbagai jenis teknik rejaman yang berbeza semenjak memulakan latihan dengan bola pertama tadi. Kehebatannya jelas terpapar dari latihannya itu.
“ Dan peperangan dengan kenangan lalu.” Aiman menoleh semula kepada pemain-pemain lain. Mereka masing-masing mengangguk.
“ Umayr, kamu adalah matahari dia. Harap dalam dua hari ini dapat melihat dia dengan baik. Tolong jaga dia agar doa tidak melakukan sesuatu di luar dugaan. Saya sendiri hakikatnya menanti-nanti pertandingan ini. Roda waktu saya yang terhenti sepuluh tahun lagi akan berputar semula, dan saya harap ia berputar dengan baik. Jangan peristiwa Faiz berulang lagi”
Umayr mengangguk. Di dalam pasukan Vanguard, dan di antara lima pemain utama yang lain, dia adalah sahabat yang paling akrab dengan Adil. Memandangkan tugasnya sebagai setter dan Adil sebagai perejam utama, mereka memang banyak keserasian. Justeru mereka amat rapat.
“ Kejadian Faiz memang adalah takdir. Dia mungkin merasakan bahawa umurnya tidak akan sampai ketika hari pertandingan membuatkan dia melakukan sesuatu di luar kemampuannya semata-mata untuk mewariskan segala semangat dan ruhnya kepada Adil. Tetapi Adil tidak sakit seperti Faiz, cuma aku takut Adil terlalu obses untuk menang sehingga merosakkan dirinya sebelum pertandingan di medan sebenar” Aiman meluahkan kerisauannya.
Tadi dia telah mengarahkan Adil berhenti, tetapi nyata pemain itu tidak mahu malah meneruskan latihan dengan menubi rejamannya. Aiman sekadar mampu membiarkan sahaja. Baginya, Adil bukanlah anak didiknya, tetapi sudah dianggap seperti adik beradik sendiri, seorang rakan seperjuangan. Tetapi Adil tetap menghormatinya sebagai jurulatih, taat dan tidak meninggi diri, walaupun sebenarnya Adil jauh lebih hebat dari dirinya. Justeru, hari ini dia tidak mahu memaksa Adil. Dia tahu Adil agak berdebar-debar untuk menghadapi Kumpulan Moon.
“ Masa sepuluh tahun itu amat panjang, justeru itu dia tidak boleh lagi menerima kekalahan yang serupa” Aiman menyambung lagi. Pemain-pemain lain mengangguk. Lima pemain utama lebih mengerti. Adil sememangnya berusaha kuat untuk membawa Vanguard ke tapak yang mereka pijak hari ini. Berlatih lebih dari orang lain, turun paling awal, habis paling lambat, sabar melayan kerenah pemain yang tidak reti, tekun mengajar hingga pandai, masih mencari dan mencipta teknik baru dan sebagainya. Hal ini membuatkan Adil disegani oleh rakan-rakan, dan amat digeruni lawan.
“ InsyaALLAH coach, kami akan berusaha yang terbaik. Kita akan buka mata dunia dua hari lagi tentang konsep ibadah yang sebenar dengan permainan kita” Fatih mengangkat tangan sambil mengepal penumbuk, tanda dia bersungguh-sungguh. Pemain lain juga begitu.
Aiman tersenyum. Dia menoleh ke belakang sebentar melihat Adil yang masih lagi melakukan rejaman.
“ Adil, aku yakin yang Faiz tak tersalah pilih orang. Maka jangan kau malapkan cahayamu, kerana kau adalah matahari untuk kami semua”
****
Esok hari perlawanan. Adil menyatakan bahawa dia ingin mengambil angin malam. Umayr menawarkan diri untuk menemani. Pesan Aiman tidak akan dilupakan. Bagi Umayr, Adil adalah sahabatnya, dan Umayr tidak suka terjadi perkara-perkara yang buruk terhadap sahabatnya itu.
“ Nampak gementar?” Adil memecah kesepian.
Umayr mengangkat kening. “ Kau bercakap kepada aku memberitahu aku yang aku nampak kau gementar, atau kau nak tanya aku adakah aku gementar?”
“ Heh” Adil tersenyum. Dia melepaskan pandangannya ke arah laut. Angin dari samudera luas itu sepoi damai bertiup ke arah mereka berdua.
Dewan untuk pertandingan esok tersergam indah di belakang mereka.Perang sepanduk dan kain rentang telah bermula semenjak semalam. Lambang dan gambar kumpulan masing-masing sudah terpapar di sepanduk-sepanduk itu. Wartawan-wartawan juga sudah berkampung di kawasan ini semenjak dua hari lepas. Vanguard menentang Moon. Dua seteru yang pernah bertembung sepuluh tahun lalu, dan kini akan bertembung sekali lagi.
Adil memandang jam tangannya.
“ Bila nak gerakkan jam tangan tu?”
Adil mengankat wajah. Muka Umayr ditatapnya.
“ Bila putaran waktu berputar dengan cara yang aku suka”
“ Kau tidak akan dapat mengubah apa yang ALLAH tulis,”
“ Takdir itu di hujung usaha manusia”
Umayr menghela nafas. “ Benar, tetapi jika kita kalah maka kau kena redha dan menerimanya”
Adil senyap. Kemungkinan untuk tewas memang ada. Memang ada?
“ Tiada, aku akan berjuang walaupun nyawa aku menjadi taruhan. Maka mereka memang tiada peluang untuk menang, kau ingat Abdullah Azam mujahidin Afghanistan?”
Umayr mengangguk-angguk.
Pernah satu hari Abdullah Azam meminta anak-anak buahnya untuk berlari sehabis tenaga. Maka semuanya berlari termasuk Abdullah Azam. Bila mereka telah berlari sekuat hati, mereka merasa letih, lalu ramai yang merasakan bahawa mereka sudah melakukan kerja mereka dengan sedaya upaya,lalu mereka berhenti. Namun apabila semua telah menghentikan larian, Abdullah Azam masih lagi berlari walaupun tubuhnya ketika itu sudah lemah longlai. Ramai yang meminta dia berhenti, tetapi dia tetap meneruskan larian. Hinggalah dia pengsan.
Pengikutnya bertanya,
“ Wahai Sheikh, kenapa kau berlari sehingga pengsan?”
“ Arahan aku tadi adalah berlari sehabis tenaga, jadi aku berlari hingga tenaga aku habis menyebabkan aku pengsan”
Lagipun Umayr memahami situasi Adil, maka dia tidak akan memanjangkan khilaf yang sedikit ini. Dia sendiri perlu berusaha untuk menang esok. Konklusi untuk esok, biarlah disimpulkan di garisan penamat. Benar kata senior Faiz itu, takdir itu di hujung usaha manusia. Usaha sehabis nyawa dulu barulah berserah.
Umayr menepuk belakang tubuh Adil.
“ InsyaALLAH, habis permainan esok, jam itu akan bergerak semula” Lembut dia menenangkan. Adil terangguk-angguk.
“ Harap ALLAH makbulkan”
Ketika kumpulan Vanguard tewas sepuluh tahun lalu, Adil telah menghentikan jam yang diwarisinya daripada Faiz. Dia telah berjanji dengan dirinya untuk tidak menggerakkan jam itu sehinggalah segala apa yang diperjuangkan oleh Faiz berjaya ditebus.
Mereka berdoa mendongak ke langit. Jutaan bintang sedang menghias dada malam menjadikan malam pemandangan yang menyenangkan.
“ Kau tahu Umayr, kenapa aku sukar untuk berputus asa walaupun sepuluh tahun telah berlalu?”
Umayr menggeleng kepala.
“ Ingat kata-kataku ini, tika aku hendak berputus asa, bila aku melihat infiniti bintang di langit malam, maka aku akan melihat sekali rahmat ALLAH yang melimpah luah dan luas. Jadi aku tidak mampu untuk berputus asa dengan rahmatNya yang luas ini”
Umayr mengangguk-angguk faham.
“ Esok kita akan tunjukkan kepada mereka dan aku sendiri ada sesuatu yang ingin aku tunjukkan kepada dunia” Adil mengepal penumbuk. Semangatnya seperti gunung berapi yang hendak meletus. Mungkin sahaja gunung berapi semangatnya akan meletus esok, memuntahkan lahar semangat yang tidak henti-henti membuak membakar bumi.
****
“ Aku melihat tikus yang menyerah diri kepada kucing” Kapten kumpulan Moon terlebih dahulu memulakan perang saraf. Adil tidak seperti biasa, dia tidak memulakan provokasi.
Dia senyap. Matanya tajam memandang pemain-pemain kumpulan Moon. Semua pemain-pemain mereka sepuluh tahun yang lepas sudah tiada. Dan Adil yakin bahawa pemain-pemain di hadapannya kini adlaah pemain-pemain baru dan lebih hebat lagi terdidik dari pemain-pemain terdahulu. Biasanya dari tahun ke tahun pastinya kumpulan-kumpulan yang bijak akan memperbaiki kelemahan mereka dan mempertingkatkan cara permainan dan kebolehan mereka.
Matanya terus merayap memerhatikan pemain-pemian lawan satu persatu. Tidak lama kemudian Adil mengoyak senyum. Senyumannya mengundang curiga lawan.
“ Hei kawan,” dia memanggil kapten kumpulan lawan yang berada di posisi tengah hadapan. Orang itu menoleh.
“ Kau kata kami tikus?”
Kapten lawan mengangguk dengan angkuh. Dewan gamat dengan sorakan. Penyokong kedua-dua belah pihak telah bertempur sorak terlebih dahulu. Nama Moon dan Vanguard dilaung-laung. Sorakan yang amat gamat itu menggegarkan dewan.
“ Aku tak pernah nampak orang memulakan perang saraf dulu kepada kita, nampaknya kumpulan Moon ini sudah mengkaji kita dengan baik” Iskandar, dengan wajahnya yang tidak berperasaan bercakap sambil memandang ke arah tiga orang yang berada di posisi belakang.
Fatih, Thoriq dan Asid mengangguk. Namun mereka bertiga mengukir senyum bermakna.
“ Tapi ‘lagenda’ kita tetap dengan aura dia tersendiri. Dia nampak yakin” Thoriq memberikan komentar.
“ Ya, riak wajahnya tetap tenang, malah tidak lebih jika aku katakan lebih tenang dari perlawanan kita yang lalu” Fatih.
“ Atau mungkin hari ini dia akan menunjukkan kita segala apa yang dia simpan” Asid pula memberikan pandangan.
Umayr sekadar mampu tersengih. “ Jika dia dikatakan tikus, maka dia adalah tikus yang lebih besar dari godzilla” Kata-kata itu mengundang tawa yang lain.
Perlawanan belum bermula, pihak lawan sudah agak tertekan. Pemain-pemain Vanguard seperti biasa, tenang, malah sempat bercanda.
Tiba-tiba dewan yang gamat itu menjadi senyap. Cuma ada beberapa suara sahaja yang wujud kedengaran.
Adil sedang mendekatkan kedua belah telapak tangannya dan jari telunjuknya menyentuh hidung. Wajahnya ditundukkan. Seluruh penyokong vanguard senyap dan turut meniru gerak gerinya.
“ Wau, berada bukan di tempat sendiri masih memukau dan menawan” Thoriq bercanda. Yang lain hanya mampu tersengih. Adil punya aura yang tersendiri. Suasana itu sedikit sebanyak merupakan isyarat sepi yang menyatakan bahawa Adil sudah jauh melangkau seorang lagenda bernama Faiz Abdul Aziz. Dan dia hari ini seakan-akan memberitahu dunia bahawa ia hendak menyelesaikan apa yang tidak dapat diselesaikan oleh Faiz.
Adil mengangkat muka. Serentak dengan itu suasana dewan menjadi gamat. Sorakan kembali bergema. Ketika ini Adil memandang semula kepada kapten lawan.
“ Kau tahu kenapa kebanyakan orang di dalam dewan tadi senyap?”
“ Kenapa?”
“ Kerana aku adalah matahari mereka” Adil menepuk dada kirinya dengan yakin sambil senyumannya yang tidak lekang di bibir menghias wajah.
“ huh” Kapten lawan mendengus kencang. Nampaknya hari ini buku telah bertemu ruas.
****
Set kedua.
Thoriq menyeka peluh di dahi. Seluruh tubuhnya lencun dibasahi keringat.
“ Penat?”Aiman bertanya sambil mencampakkan tuala. Pemain bejersi nomobor 11 itu menangkap tuala sambil mendekati tempat duduk. Dia mengangguk.
“ InsyaALLAH kita menang coach” Thoriq tersenyum sambil matanya tertumpu kepada gelanggang. Perlawanan amat sengit, namun dalam sengit itu mereka telah berjaya memenangi satu set, dan di dalam set kedua ini mereka telah meninggalkan lawan dengan 23 berbalas 15 mata.
Aiman turut tersenyum senang. Namun di dalam hatinya dia masih beringat.
“ Permainan belum tamat, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kena terus berusaha macam nak mati, sambil tu bertawakkal dan bergantung kepada ALLAH. DIA sahaja yang memberikan kita kekuatan”
Thoriq mengangguk. Peluh di wajahnya dilap dengan tuala buat kesekian kalinya. Dia kini digantikan dengan libero, selepas ini dia perlu bertungkus lumus untuk membenam lawan apabila berada di garisan penyerang. Di dalam sukan bola tampar, kumpulan yang menang tiga set dahulu barulah dikira sebagai pemenang.
Mengenai pesanan jurulatihnya sebentar tadi, dia masih teringat bagaimana pemain badminton Malaysia, Misbun Sidek yang telah meninggalkan lawannya 13-1, tewas dengan mata 15-13 apabila lawan itu bangkit. Dia juga masih ingat pada sukan Olimpik di Athen, pasukan bola tampar cina telah kalah dua set dengan kumpulan Russia, namun mereka bangkit menewaskan Russia dengan 3 set berbalas dua. Dua peristiwa ini jelas sahaja menunjukkan apa sahaja boleh terjadi jika kita lalai dan alpa. Pemain lumba lari juga biasa tewas di garisan penamat dengan perbezaan yang amat kecil.
“ Tapi Adil kata dia ada hadiah istimewa untuk dunia pada set ketiga” Thoriq memberitahu.
Aiman beriak terkejut. Hadiah?
“ Saya pun tidak tahu” Thoriq menjawab persoalan yang terpapar pada wajah jurulatihnya.
Aiman terus memerhatikan Adil. Hari ini dia bermain seperti singa. Walaupun pihak lawan cuba mengikut rentaknya dan menghalang segala tindakannya, dia tetap tidak mampu dihentikan. Corak permainan yang sering berubah-ubah, ditambah pula kerserasiannya dengan Umayr yang sudah seperti orang buta yang mampu membaca braille, dia langsung tidak dapat digugat. Cuma yang peliknya, dalam dua set ini, bilangan rejaman Adil kurang dari biasa. Biasanya dia akan menyumbang palig kurang 10 mata untuk Vanguard dengan rejamannya dasyatnya, namun kali ini dia hanya melakukan paling banyak pun lima rejaman sahaja.
Aiman mengira Adil gementar, memandangkan perlawanan ini memberikan impak kepada kehidupan Adil. Tetapi,
“ Matahari hanya malap apabila kiamat, Aiman” Itulah kata-katanya, menyatakan bahawa dia tiada apa-apa. Malah dari riak wajah dan pergerakan, nyata dia tidak gementar. Tetapi kenapa rejamannya kurang? Bukankah Adil selalu menyatakan bahawa dia akan bertarung habis-habisan?
Bola meluru laju ke arah gelanggang Vanguard apabila pemain bernombor 13 dari pihak Moon merejam sepantas kilat. Namun Libero Vanguard yang ditugaskan mengambil fisrt ball mengangkat bola dengan baik dan mudah. Dia hanya tersenyum seakan-akan bola yang laju itu bukan satu masalah.
“ Adil punya rejaman sepuluh kali lebih hebat dari ini” Dia mendesis.
Bola terangkat cantik dan perlahan menuju ke arah Umayr. Belum lagi bola sampai di tangan Umayr, Iskandar yang tinggi sudah berada di atas bola dan melepaskan rejaman kilat.
Pemain lawan tidak sempat bersedia, mereka hanya dapat melihat bola apabila bola sudah berada di udara selepas melantun menghentam lantai. Siapa yang menyangka Iskandar akan menyentuh bola terlebih dahulu sebelum bola tiba kepada setter. Biasanya adalah mustahil berbuat demikian, namun tidak bagi Iskandar yang mempunyai ketinggian hampir dua meter.
Mata menjadi 24 berbalas 15. Iskandar menunjukkan aksi menembak kepada kapten lawan. Nyata wajah kapten itu kelihatan perit bersama peluh yang menucrah-curah.
“ Bang!” Iskandar tersenyum menyerang psikologi lawan.
Adil menepuk-nepuk bahu Iskandar.
Asid akan melancarkan servis lagi.
“ Asid, habiskan, jangan panjangkan lagi perlawanan ni. Aku nak servis ni terus habiska perlawanan, tiada rejaman dan set, tiada balasan lawan” Adil bersuara tegas. Asid mengangkat tanda bagus dengan tangan kanan, tangan kirinya memegang bola.
Asid memegang bola sambil kakinya bergerak dan melompat ke arah kanan. Sebaik sahaja dia melompat, dia memukul bola dengan sepenuh tenaga.
Bola itu melayang di udara, sebentar ke kanan, sebentar ke kiri, sebentar ia terangkat ke atas, sebentar ia turun ke bawah. Asid mengukir senyum bermakna. Pihak lawan tercengan dengan bola itu.
“ Ambil!” Kapten lawan menjerit apabila bola itu sudah melepasi jaring. Bola itu nampaknya akan jatuh di bahagian tengah. Pemain lawan yang berada di tengah berusaha untuk mengangkat bola itu, namun bola itu melenocng di saat-saat akhir lalu terkena hujung tangan menyebabkan bola itu melantun laju keluar dari gelanggang.
“ Priiit!”
Set kedua tamat.
Kapten lawan menumbuk-numbuk lantai.
Adil tersengih. “ Jangan kau salahkan gelanggang atas kelemahan dirimu sendiri”
Kapten lawan segera mengangkat muka. “ Cis, cakap besar. Kau lihatlah kami akan ambil semula set-set yang kami kalah dan kami akan tewaskan kamu”
Adil mengangkat kening. “ Tidak”
Kapten lawan terpempan. Yakin sekali suara yang dikeluarkan oleh Adil.
“ set akhir ini, kamu tidak akan mendapat satu mata pun”
“ Cakap besar”
“ Yakin pada diri, yang yakin akan bantuan ALLAH” Adil menepuk dada kirinya dua kali.
****
20-0.
Aiman memandang dengan mata yang terbeliak. Seluruh dewan yang pada awalnya permainan tadi gamat menjadi senyap. Mereka sedang melihat keajaiban, atau lebih tepat lagi, mereka sedang melihat seseorang yang bukan lagi boleh dikategorikan sebagai manusia biasa.
Adil melambung lagi bola tinggi ke hadapan. Dia yang berdiri jauh dari garisan belakang berlari ke hadapan, kemudian melompat sekuat hati, melentikkan tubuhnya selentiknya dengan tangan kanan yang telah bersedia untuk merejam, lalu apabila bola berada di posisi yang sesuai, dia pantas melengkokkan tubuhnya dan merejam dengan sekuat hati. Ibarat meteor, bola itu meluru laju melepas net.
Pemain-pemain lawan segera mengelak dari ditembak oleh bola tersebut. Tanpa halangan, bola itu terus menghentam gelanggang. Dan sebaik sahaja bola itu meninggalkan tempat hentamannya, semua orang dapat melihat asap nipis muncul sebentar pada permukaannya.
“ Huh” Adil menarik nafas. 21-0.
Tubuhnya sudah mula dirasakan tidak stabil. Peluh yang sudah tidak kira jantina telah membasahi tubuhnya ibarat dia sedang mandi. Matanya sedikit berpinar.
“ Adil, cukuplah tu” Umayr memegang bahu Adil. Adil menepis.
“ Diam” Mata Adil hanya memandang gelanggang lawan.
Wisel dibunyikan tanda permainan diteruskan.
Adil sekali lagi mengulang cara yang sama, dan sekali lagi rejamannya tiada siapa yang berani mengangkatnya.
22-0.
“ yosh, adakah aku boleh menyatakan bahawa hakikatnya kita memang sudah menang?” Asid memandang Thoriq. Temannya itu mengangkat bahu.
Thoriq menoleh ke arah Adil. Dari pergerakan Adil, dia tahu pemain itu hakikatnya sudah tidak larat. Teknik jumping serve yang dilakukan itu bukanlah seperti teknik-teknik jumping serve yang biasa. Teknik yang Adil sedang gunakan itu adalah teknik yang memakan tenaga. Melakukannya satu atau dua kali di dalam satu set sahaja sudah memenatkan. Tetapi Adil...
Kapten lawan memandang Adil dengan tajam.
“ Celaka, adakah ini manusia?”
Semua manusia di dalam dewan hanya melihat Adil sahaja. Aiman menggelengkan kepala. Adakah ini yang dinyatakan Adil sebagai hadiah? Adakah dia hendak menunjukkan kepada dunia betapa dia telah melangkaui kehebatan seorang lagenda? Belum ada lagi di dalam sejarah bola tampar dunia yang mencatatkan bahawa seseorang boleh melakukan apa yang Adil lakukan sekarang. Adil telah merejam sebegitu rupa semenjak dari awal permainan. Malah rejamannya itu bukan rejaman yang biasa, sepanjang 22 mata yang telah dikumpul, lima matanya telah menyebabkan lima pemain lawan cedera dan terpaksa keluar gelanggang, diganti dengan pemain simpanan. Kini pemain kumpulan Moon yang kekal hanyalah kaptennya sahaja. Oleh sebab itulah mereka hanya mampu mengelak sahaja dan tidak berani mengangkat bola.
“ Coach, tukar saya jadi natural”
Aiman terpempan. “ Aik, tak nak ambil tempat perejam utama? Kata nak habiskan perlawanan ke tiga ni cepat?”
“ Perlawana akan habis lebih cepat dari yang dijangka manusia biasa”
Itulah kata-katanya tadi sebelum melangkah ke dalam gelanggang. Benar, perlawanan baru sahaja berlangsung lima belas minit. Dan mengikut mata serta keadaan sekarang, perlawanan akan tamat sebentar lagi. Adil melakukan jumping serve yang terdasyat di dalam sejarah itu dari awal permainan. 22 mata dari awal hingga kini disumbangkan oleh dia sahaja.
“ Adil, cukuplah tu” Aiman melaung. Dia tahu Adil hendak menunjukkan kepada dunia betapa manusia yang mengambil ISLAM secara menyeluruh adalah yang terhebat.
“ Diam” Adil berdegil. Namun dia sendiri tahu tubuhnya sudah mula mencapai limitasinya. Tetapi dia tidak menghiraukan. Tubuhnya sudah sedikit terhuyung-hayang.
24-0
Suasana dewan semakin sepi. Sunyi ini membeku hati. Ada penonton menitiskan air mata melihat kondisi Adil. Betapa semangatnya ingin menebus maruah yang telah tercalar, mengangkat kebenaran yang terselindung begitu tinggi dan tebal. Vanguard bukannya tidak boleh menang dengan cara permainan biasa, tetapi Adil benar-benar hendak menunjukkan bahawa manusia yang berhubung dengan ALLAH adalah manusia yang luar biasa.
“ Hei kawan” Adil menunjuk tangannya ke arah gelanggang lawan. Semua pemain lawan berpandangan sesama sendiri. Hanya kaptennya mereka sahaja yang terkecuali, dia memandang Adil dengan pandangan yang tajam. Apa keadaan sekalipun, Vanguard akan menang selepas servis ini. Dia sudah lama mengalah semenjak lima temannya terpaksa keluar gelanggang kerana cedera teruk akibat mengambil bola yang direjam Adil.
“ Ya kau” Adil menunjuk kepada kapten lawan. Kapten itu mengangkat kedua-dua keningnya, isyarat senyap meminta Adil meneruskan kata-kata.
“ Harap kau tahu apa fungsi matahari, dan kekuatannya selepas ini”
Kapten kumpulan Moon itu menarik sengih.
Adil melambung bola. Kali ini lebih tinggi. Bola itu terdorong lebih jauh ke hadapan. Adil berlari, langkahnya sedikit kurang stabil, namun tidak mengurangkan momentumnya. Dia sudah tidak nampak apa-apa melainkan bola tampar yang sedang melambung di udara itu. Dengan mengerah segala sisa tenaga yang masih ada pada otot, dia melompat setinggi-tingginya. Badannya melentik bersama tangan kanannya yang telah bersedia untuk merejam. Sampai sahaja masanya, dia terus merejam sekuat hati.
“ ALLAH!!!” Dia melaung nama ALLAH seiring rejamannya.
Bola tampar itu meluru laju ibarat torpedo terpantas dunia. Ia meluncur laju selaju-lajunya. Semua ahli kumpulan Moon sudah bergerak keluar dari gelanggang sebelum Adil memukul bola lagi kerana takut menjadi mangsa. Tetapi kapten kumpulan lawan tetap tegar menunggu.
“ Ini penghormatan buat kamu, aku akan mengangkat bola itu”
Namun belum sempat kapten itu berada di dalam posisi digging untuk mengangkat bola, bola sudah hendak menghentam wajahnya. Pantas kedua belah tangannya melindungi wajah. Ibarat dilanggar lori, kapten lawan terpelanting ke belakang. Serentak dengan itu, bola meletup dengan tiba-tiba.
Priiit!!! Wisel dibunyikan.
Adil jatuh terjelepuk.
“ Adil!!!” Itulah suara yang terakhir didengari, sebelum dunia menjadi gelap seakan hilang matahari.
****
10 tahun lagi sudah berlalu.
Aiman berdiri di hadapan sebuah pusara.
“ Aku kira kamu benar-benar telah menjadi matahari” Aiman bercakap sendiri sambil tangannya membersihkan kubur itu dari daun-daun kering yang gugur.
“ Kamu merupakan pemain, dan juga sahabat yang baik kepada aku” Air mata Aiman bergenang.
10 tahun yang berlalu selepas perlawanan yang bersejarah antara Vanguard dan Moon, dua kumpulan kuat dunia yang menyaksikan Adil, telah mejadi pemain lagenda dengan kehebatannya di luar dugaan. Perlawanan itu memberikan satu fenomena sukan dunia dengan melihat rata-rata permainan telah meletakkan syarat menutup aurat sebagai satu kewajipan. Malah segala aturcara sukan, pertandingan dan perlawanan, disusun sesuai dengan waktu solat agar ibadah fardhu itu dapat diutamakan.
Kini ramai pemain-pemain telah mengikuti usrah yang diselenggarakan oleh Syarikat Teguh, dan Aimanlah yang menjaga hal ehwal dalam perkara ini. Dia kini bukan lagi jurulatih kepada pasukan Vanguard. Dia menumpukan seluruh perhatiannya kepada pembinaan syahsiah atlet, yang menyaksikan pengurangan rasuah, permainan kotor dan kasar, pecah amanah, judi dan akhlak buruk dari kalangan atlet mahupun pengurus pasukan turun mendadak. Malah fenomena ini merabak bukan sahaja di arena sukan, malah di dalam apa sahaja medan sekalipun.
ALLAH benar-benar menunjukkan kekuasaanNya.
“ ALLAH adalah sumber kekuatan kita yang sebenar, kerana DIAlah yang mencipta kita. Barangsiapa yang hendakkan tempat yang lebih tinggi, kekuatan yang lebih dasyat, maka hendaklah dia kembali kepada ALLAH, merapatiNya, mengikuti perintahNYa, dan meninggalkan laranganNya. Nyara DIA akan memberikan kuasa dan kekuatan kepada kita” Itulah ulasannya apabila ditanya mengenai kehbatan Adil di dalam pertembungan antara Vanguard dan Moon sepuluh tahun dulu.
Air matanya yang merembes diseka.
“ Aiman, kenapa menangis seorang diri di kubur ni?”Satu suara menyapanya.
Aiman segera menoleh ke belakang.
Adil tersenyum. “ Janganlah buat gaya matahari nak hilang” Adil segera melangkah. Dia menepuk bahu Aiman. Aiman tersenyum.
“ Matahari hanya malap ketika kiamat” Aiman membalas.
Adil mengangguk. Dia membaca Al-Fatihah dan menyedekahkan pahalanya kepada penghuni kubur di hadapannya khususnya, dan seluruh penghuni di tanah perkuburan ini amnya.
“ Macam mana kumpulan?” Aiman memegang bahu Adil.
Adil mengangkat bahu. “ Nak kena bagi tahu ke? Tengok jurulatih la” Adil menepuk dada kirinya dua kali. Aiman tersengih.
“ Berlagak”
Adil mengemas sedikit kubur di hadapannya. “ semoga ALLAH rahmati senior, sebagaimana ALLAH membuatkan matahari itu bercahaya, harapnya senior turut diberikan cahaya kerahmatan daripada ALLAH di akhirat nanti”
Aiman mengangguk. “ Melihat engkau, aku rasa senior benar-benar akan dirahmati”
Adil menggaris senyum.
“ InsyaALLAH, sebab kita semua adalah matahari, yang menjadi contoh dan petunjuk kepada alam ini”
Dua sahabat itu tersenyum. Putaran waktu merka yang terhenti dua puluh tahun lepas sudah bergerak semula sepuluh tahun lalu. Jam tangan Adil terus berdetik.
Hidup mesti terus, dan mereka ingin terus menjadi matahari yang menyumbangkan cahayanya kepada kehidupan alam.

No comments:
Post a Comment